Bekas atlet paralimpik wanita pertama Singapura bagi sukan angkat berat Nur ‘Aini Mohamad Yasli, menjadi antara 15 individu yang diiktiraf dengan Anugerah Upaya Goh Chok Tong tahun ini.

Nur ‘Aini Mohamad Yasli antara Penerima Anugerah Upaya Goh Chok Tong (Potensi) 2025. (Gambar: Fatyn Abdul Samad)
SINGAPURA: Dari gelanggang angkat berat ke dewan kuliah, Cik Nur ‘Aini Mohamad Yasli, 33 tahun, mengangkat semangat ramai bukan lagi dengan beban besi, tetapi dengan semangat untuk membina masyarakat yang lebih inklusif.
Semangat dan ketabahan golongan kurang upaya sekali lagi diraikan dalam Anugerah Upaya Goh Chok Tong (GCTEA) 2025, yang berlangsung pada Jumaat (21 Nov) di Hotel Pan Pacific.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Presiden Tharman Shanmugaratnam sebagai tetamu kehormat, bersama Menteri Kanan Emeritus (ESM) Goh Chok Tong serta Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga, Eric Chua.
Dalam ucapannya, Encik Eric Chua menekankan pentingnya perubahan sikap dan minda dalam masyarakat.
“Kita mesti terus melangkaui batasan, membawa perubahan pada cara kita berfikir dan bertindak untuk menjadi masyarakat yang benar-benar inklusif. Di tempat kerja, di sekolah, dan di ruang komuniti, inklusiviti bukan tanggungjawab segelintir, tetapi amanah bersama,” ujar Encik Eric.
Tahun ini, seramai 15 penerima anugerah diiktiraf termasuk 11 penerima bagi Anugerah Potensi GCTEA.
Antaranya ialah Cik Nur ‘Aini, kini seorang pensyarah di Politeknik Republik dalam bidang sukan.
Beliau satu-satunya penerima Melayu bagi Anugerah Potensi tahun ini.

Nur’Aini Mohd Yasli di Sukan Paralimpik Tokyo. (Gambar: Sport Singapore)
DARI PENTAS ANGKAT BERAT KE DUNIA PENDIDIKAN
Cik Aini mencipta sejarah apabila menjadi atlet angkat berat paralimpik wanita pertama Singapura, satu pencapaian yang terus menjadi simbol kekuatan dan inspirasi.
Namun, lebih daripada sekadar pingat dan rekod, perjalanan beliau mencerminkan semangat untuk membina ruang dan harapan bagi orang lain.
Selepas bersara daripada sukan kompetitif pada 2024, Aini memilih untuk terus berbakti dalam bidang pendidikan.
Kini, sebagai pensyarah di Politeknik Republik, beliau mendidik pelajar dan atlet muda tentang nilai integriti dan ketahanan.
“Saya mula melihat perubahan dalam pemahaman masyarakat terhadap orang kurang upaya. Saya sedar bahawa saya mempunyai peranan untuk menyebarkan pengetahuan dan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang komuniti orang kurang upaya.” kata Aini.
Selain mengajar, Aini aktif dalam komuniti sukan adaptif melalui inisiatif seperti PlayBuddy, satu program sukan untuk kanak-kanak kurang upaya fizikal dan turut terlibat dalam Camp Extraordinary (Camp X), kem kepimpinan yang dikendalikan oleh individu kurang upaya untuk belia berkeperluan khas.

Penerima Anugerah Upaya Goh Chok Tong 2025. (Gambar: Mediacorp)
PENGIKTIRAFAN YANG MENGHARGAI SEMANGAT DAN HARAPAN
Bagi Aini, menerima anugerah ini bukan sekadar satu penghormatan peribadi, tetapi simbol kepada perjalanan yang masih diteruskan.
“Walaupun saya membesar dengan keadaan fizikal yang berbeza, saya bersyukur kerana saya dikelilingi orang yang sering dan sentiasa menggalakkan saya untuk mencuba perkara baru. Anugerah ini bukan sekadar satu pencapaian tetapi ia juga merupakan penghargaan kepada semua yang telah menyokong dan juga mendorong saya selama ini,” kata Aini.
Beliau berharap pengiktirafan ini dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk tampil, mencuba, dan membina masyarakat yang lebih inklusif.
“Saya berharap ia dapat membuka lebih peluang dan mendapatkan lebih ramai orang untuk cuba sukan para dan merasakan manfaat daripada melakukan sukan paralimpik,” ujar Aini.
Beliau dan lagi 10 penerima Anugerah Potensi GCTEA masing-masing menerima sebuah piala dan wang tunai S$5,000.
Anugerah Upaya Goh Chok Tong (GCTEA) dianjurkan di bawah Dana Upaya Goh Chok Tong (GCTEF), satu inisiatif untuk menyokong aspirasi dan mengiktiraf pencapaian golongan kurang upaya.
Dana ini ditadbir oleh SG Enable dan disokong oleh Mediacorp.
Sumber : BERITA Mediacorp/FT/az